Pasar Malam, Pasar Pagi Dan Bazaria Di Perak Akan Dibuka Semula 15 Jun
IPOH: Kesemua pasar terbuka, pasar pagi, pasar malam dan bazaria di seluruh Perak akan mula dibenarkan beroperasi semula secara berperingkat bermula 15 Jun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata walaupun kerajaan negeri menerima pakai prosedur operasi standard (SOP) seperti diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini, namun ianya akan diteliti semula bagi memberi ruang kepada penambahbaikan.
Katanya pembukaan pasar-pasar tersebut tertakluk kepada waktu pengoperasian masing-masing.
“Pembukaan pasar pagi dan pasar terbuka adalah bermula pada jam 6 sehingga 11pagi, pasar malam pula bermula pada jam 4 petang sehingga 10 malam.
“Sementara Bazaria sebagai contoh ‘Gerbang Malam’ dibenarkan beroperasi bermula jam 5 petang sehingga 11 malam.
“Jarak sosial setiap gerai ditetapkan pada 1.5 meter hingga 2 meter. Lokasi kawasan tersebut perlulah terbuka dan berpagar bagi mengawal pergerakan masuk dan keluar sehala,” katanya dalam satu sidang media, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, hari ini.
Selain itu menurutnya setakat ini kesemua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini bersetuju untuk membuka sebahagian pasar-pasar tersebut bergantung kepada kemampuan pengurusan PBT masing-masing.
“Kesemua PBT telah bersetuju untuk buka sebilangan pasar malam yang mereka mampu uruskan
“Sebagai contoh di sini, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) selepas bincang dengan persatuan peniaga, mereka bersetuju untuk buka 15 lokasi pasar malam di sekitar Bandar Raya.
“Begitu juga dengan PBT lain yang mana bukan semua pasar malam dibuka secara serentak. Ini kerana masih ada peniaga yang bimbang untuk beroperasi semula secara terbuka susulan penularan COVID-19 ini,” kata beliau.
Pada masa sama Ahmad Faizal turut meminta agar semua PBT dapat memberi bantuan kepada persatuan-persatuan peniaga tersebut dalam mengendalikan operasi pasar-pasar sedemikian.
Ia bagi memastikan para pengunjung dan peniaga dapat mematuhi SOP pengoperasian dengan baik.
Sementara itu katanya, walaupun latihan pasukan sukan dibenarkan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) namun kerajaan negeri telah membuat pindaan SOP berhubung perkara tersebut.
Katanya mana-mana pasukan yang mahu mengadakan latihan sukan berpasukan dan sukan tempur, hendaklah memohon kebenaran terlebih dahulu.
“Kebenaran hendaklah dibuat dan mendapat kelulusan daripada PBT terlebih dahulu dan ianya hendaklah dibuat melalui persatuan sukan,” katanya.
Dalam sidang media sama, beliau turut mengumumkan pengoperasian semula kedai gunting rambut dan salun kecantikan berdasarkan SOP yang ditetapkan kerajaan persekutuan.